Saya di sekolah sepanjang hari ini. Suhu antara 31ยฐC (dalam kelas) dan 33ยฐC (luar kelas). Sangat panas dan rimas.
Di dalam kelas, saya lihat murid-murid berkipas menggunakan apa sahaja yang tercapai. Kertas, buku atau dengan tangan. Sekejap-sekejap mereka mengelap peluh di muka dan mengipas -gipas tudung. Nampak wajah mereka lesu, rimas dan gelisah.
Cikgu terus mengajar. Bercakap laju tanpa noktah. Memang sebagai guru yang bertanggungjawab, mereka mesti habiskan topik yang dirancang untuk hari ini. Kalau tak habis, topik esok dan seterusnya akan tertangguh. Bala besar nanti...
Guru terus mengajar. Ada murid-murid yang memandang keluar kelas. Pandangan yang kosong.
Guru terus mengajar. Ada murid-murid di belakang kelas bercakap sesama sendiri. Mereka semakin hilang fokus. Panas, rimas dan bosan. Teknik PAK21 berbentuk 'bebelan' guru nampaknya menambahkan lagi rasa ingin segera keluar dari bilik darjah. Tapi apa daya mereka. Mereka hanya murid-murid yang tiada suara. Bersabar sahajalah.
Guru terus mengajar. Sebaik loceng berbunyi, kelihatan dengan jelas murid-murid secara serentak seperti menarik nafas lega.
Kita sebenarnya sudah hilang empati pada kesejahteraan murid-murid dan guru. Betul, kita kaya dengan berbagai slogan lunak. 'Sekolahku Sejahtera', 'Murid ceria, guru bahagia bla...bla..','ABC', dan berbagai slogan lagi. Tapi itu semua hanya slogan. Apa yang ada di sekolah tidak banyak berubah. Sama sahaja seperti dulu.
Suhu panas di sekolah memang menyebabkan hati kita 'mudah panas' melihat keadaan murid-murid dan guru.
Kita bercakap soal pendidikan berkualiti, bertaraf dunia, PAK21, transformasi sekolah dan berbagai lagi. Murid-murid rimas dan panas dalam kelas pun kita tak mampu selesaikan. Itulah kita.
Saya bayangkan apa kata kalau seminggu sekali seluruh bangunan KPM di Putrajaya, semua bangunan JPN dan PPD tutup aircond. Tak perlu lama. Cukuplah 2 jam (11 pagi sampai 1 tengahari).
Teruskan bekerja atau bermesyuarat dengan tiada aircond, cukuplah pasangkan kipas angin. Apa rasanya? Pasti rimas, panas dan hilang motivasi untuk bekerja dengan baik.
Itulah rasanya anak-anak kita di sekolah sekarang. Malah mereka bukan sekadar dua jam tapi lima jam setiap hari persekolahan. Dan terpaksa berkurung dalam kelas yang sesak dengan murid lain.
Fahamilah, tiga puluh tahun dulu, cuaca panas tak seperti sekarang. Dulu kita masih mampu bertahan. Tetapi bukan sekarang.
Anda kesian pada mereka? Apa tindakan anda sebagai orang yang diberikan amanah selain kata 'kesian'?
#sekadarrenunganbersama#c&p